Google+ Followers

Thursday, December 11, 2014

44 hari amalan berpantang : Sembelit dan Episiotomy

Assalammualaikum semua :)

Lamanya kena berpantang sampai 44 hari, keluhan saya masa awal-awal berpantang. Sebenarnya ikut pengalaman, rasa payah berpantang ini masa 2 minggu pertama ja, then after that we get used of it, sebab dah terbiasa. Macam mana pula ada yang pantang sampai 100 hari, lagi lama kan? Saya cukuplah 44 hari berpantang, itu pun saya tidaklah terikat betul-betul amalan tradisi melayu dalam berpantang, tapi bagi yang sanggup mengikut tanpa melanggar pantang larang amalan melayu, amatlah digalakkan kerana amalan berpantang ini sangat bagus bagi tujuan pemulihan kesihatan tubuh badan wanita selepas bersalin.

Penjagaan Pemakanan

Untuk minggu pertama dan kedua, saya berpantang di rumah mertua. My MIL menyediakan makanan yang kurang minyak atau pun tiada minyak langsung seperti ikan bilis salai, ikan singgang dan sayur rebus. Ikut My MIL petua, air pun kena kurangkan, katanya kalau minum banyak air boleh menyebabkan rahim kita mengembang dan luka lambat baik. Mungkin ada logiknya pertua orang tua dulu-dulu, kemungkinan kurangkan air ni jadi kuranglah buang air kecil dapatlah kurangkan kelembapan di bahagian luka bersalin. Tapi menantu dia ni, ada juga curi-curi minum air sebab dah dahaga sangat lagi-lagi sebab menyusukan baby kan. Sayur pula dia suka masakkan sup lobak putih, sedap juga dan khasiatnya pula dapat memperbanyakkan susu ibu.

Minggu ketiga dan seterusnya, saya balik Johor dan dijaga pula oleh emak saya. Permakanan lebih kurang sama macam my MIL tapi emak saya suka bagi saya makan sup ayam, katanya untuk tenaga. Lagipun ayam banyak mengandungi protein yang baik untuk pulihkan luka bersalin dengan cepat. Tapi bagi yang ada allergic elakkan makan ayam, takut luka tu gatal. Sup ayam tu direbus dengan halia dan bawang putih, khasiat halia dan bawang putih pula dapat buang angin dalam badan. Selain itu juga, emak saya ada juga bagi saya makan buah-buahan seperti pisang, oren dan anggur untuk permakanan seimbang selain sayur-sayur hijau. Sayur paling kerap dia masak, sayur sawi dan lobak.

Sayur sejuk-sejuk macam bayam, kangkung dan kacang panjang perlu dielakkan sebab boleh memberi kesan angin badan dan sakit urat. Tapi semua tu depends on badan masing-masing.  Ikan pun sama, tak semua ikan boleh makan, ikan yang berduri macam ikan duri, parang dll tak boleh makan, ikan yang banyak mercuri macam tuna dan kod pun tak boleh makan. Selain itu, ikan kembong pun tak boleh makan. Ikan yang boleh makan macam ikan merah, selar, siakap dan banyak lagi.

Jamu juga saya ambil masa minggu kedua, jamu manjakani ni saya beli daripada bidan yang urut saya. Jamu ni mengandungi manjakani yang telah diproses dan khasiatnya adalah untuk mpercepatkan luka jahitan sembuh. Nak sapu tak berani, nak makan yang fresh pun tak berani, jadi makan jamu kapsul pun jadilah. Selain itu, saya juga minum pati ikan haruan setiap pagi, kata orang ikan haruan elok untuk sembuhkan luka dalaman. Jadi saya cuba minum pati ikan haruan ni. Untuk supplement pula, saya makan Vita-Lea Shaklee yang mengandungi multi-vitamin yang juga membantu memberi tenaga dan peningkatan hemoglobin.

Selain itu juga, emak saya beri saya minum pati kunyit. Rasanya ya Allah, memang tak tertelan. Dapat minum segelas ja. Ni petua orang dulu-dulu, pati kunyit ni dibancuh macam jamu untuk kesihatan dalaman wanita, minum sekali saja semasa pantang.

SEMBELIT

Masa berpantang nak membuang air besar sungguhlah payah sebabkan sembelit. Sakit tau kalau kena sembelit. Sembelit selepas bersalin memang adalah perkara normal bagi wanita, disebabkan kita kurang bergerak semasa berpantang dan sistem pencernaan juga jadi lambat setelah bersalin disebabkan perubahan hormon. Untuk elak sembelit ni, kena minum cukup air dan bersenam.

Sejak kena sembelit tu, saya minum air secukupnya at least 2 liter sehari dan amalkan makan buah bagi lawas najis. By the way, boleh juga ambil ubat pelawas macam Lactul Solution pada awal hari bersalin. Lactul solution ni dimakan waktu malam sebelum tidor untuk dos yang sesuai. Lebih baik rujuk dengan doktor ye! Memang berkesan. Kalau nak beli kat pharmacy pun ada jual.

Lagi satu, kalau susah nak buang air besar, cuba lakukan senaman ni masa nak buang air besar:- mula-mula tarik perut ke dalam kemudian tekan dengan dua tangan supaya perut tu tersembul keluar dari celah-celah tangan. Lakukan dari atas ke bawah. InshaAllah akan rasa usus kita bergerak untuk keluarkan poo-poo. Kalau payah juga, masa nak buang air besar tu cuba duduk macam nak bersalin tu, pegang lutut sehingga peha rapat ke perut, then lepaskan perlahan-perlahan.

Penjagaan Episiotomy/ Luka jahitan

Disebabkan saya bersalin secara normal dan anak pertama, onr thing for sure memang kena jaga luka jahitan di bahagian perineum saya. Sakit tau! Episiotomy ni adalah koyakan yang dilakukan oleh doktor semasa bersalin di bahagian perineum (dari faraj ke lubang dubur) untuk laluan kepala bayi. Penjagaan episiotomy ini adalah sangat kena menitik-beratkan supaya luka tidak terkena jangkitan kuman. Luka saya baik dalam tempoh 3 minggu, biasanya luka ni baik antara 2 minggu hingga sebulan bergantung kepada saiz luka tu sendiri dan penjagaannya.

Antara langkah-langkah penjagaan, tukar pad secara kerap agar bahagian tersebut tidak lembap. Maknanya setiap kali ke tandas, kena tukar. Masa awal-awal pantang darah nifas tengah banyak, jadi saya amalkan tukar pad setiap 4 jam. Saya pakai pad jenis lekat, susah pakai jenis loop yang macam nurse kat hospital pakaikan lepas bersalin.

Selain itu, selepas ke tandas, saya keringkan bahagian tersebut dengan hair dryer dan lap dengan kain bersih sehingga betul-betul kering. Dah kering, saya sapukan ubat luka Acriflavine atau ubat kuning di kawasan luka tersebut dengan menggunakan kapas. Gunakan cermin, untuk lihat luka kat bawah supaya dapat sapu rata di kawasan luka.

Kalau rasa berdenyut maknanya kawasan tu dah terjangkit kuman, Untuk kurangkan jangkitan, boleh cuba rendam air panas suam-suam kuku yang dicampur dengan garam dengan duduk dalam besen. Buat 2 - 3 kali sehari, inshaAllah boleh kurangkan jangkitan kuman.

Berurut dan Bertungku

Untuk berurut, my MIL yang carikan bidan kampung, nama mak cik tu mak cik Bia. Saya berurut 3 kali masa minggu pertama. Lega bila diurut urat-urat yang tegang masa bersalin. Darah kotor pun lancar ja keluar lepas diurut. Selain urut, mak cik tu pakaikan saya tepel, bengkung dan pilis. Memang nyaman sangat bila pakai tepel, rasa badan panas ja.

Kebaikan mengurut ini ialah yang utama dapat melancarkan peredaran darah dan perbetulkan urat-urat badan. Selain itu juga, dapat membetulkan semula peranakan kita setelah bersalin.

Tungku ni saya guna tungku yang dibeli dari Tanamera. Spray dengan air kemudian masuk dalam microwave dalam 10  minit, kemudian tungku tu saya tekan-tekan perut dari atas sampai ke bawah secara pusingan jam. Sedap ja rasa perut bila kena haba panas tungku. Elok amalkan tungku ni sepanjang pantang untuk melancarkan darah dan buang darah kotor.

Bengkung

Bengkung pula, saya teruskan pakai sampai hari ke 44, tapi ada juga yang miss tak pakai bila malas. Mula-mula harapkan emak sendiri pakaikan, tapi bila masuk minggu ke-3 tu baru saya pakai sendiri. Senang ja pun pakai sendiri. Untuk bengkung ni, saya lebih selesa guna bengkung keluaran Mak Dara, ni saya pinjam dari adik saya, kain tak panas dan selesa dipakai seharian. Sebelum bersalin, saya pun ada beli bengkung keluaran Tanamera juga kain dia pun tak panas cuma bezanya panjang sangat, sukar untuk berjalan bila memakainya.

Bengkung ni untuk kembalikan bentuk badan kita dan kempiskan perut. Sebelum pakai bengkung, sapukan tepel atau minyak panas supaya dapat membakar lemak di perut.

Selain pakai bengkung hampir setiap hari, kena pakai stockin 24 jam untuk elak masuk angin dan sakit sendi kaki. Saya masa dalam pantang memang tak tinggal stockin sebab bila buka stockin rasa sengal-sengal kat kaki dan sejuk sangat-sangat

Mandi Herba

Masa awal-awal tu, saya ada mandi herba tapi saya jenis tak tahan panas herba jadi saya mudah pening, Untuk mandian herba saya gunakan produk Tanamera. Saya kurang gemar bau herba mandian ni sebab terlalu kuat bau herbanya. Untuk mandian juga, saya kerap membersihkan diri dengan sabun boreh Tanamera, macam scrub ja texture dia. Setiap kali mandi, saya sental badan supaya hilang daki-daki badan. Memang rasa kulit licin lepas pakai sabun tu.